Integriti dan Toksik Populariti

Influencer, televangelist, apa-apa jua status yang menjadikan kerja seharian membabitkan populariti dan viral… ada sesuatu yang toksik berkaitan dengan kerja berasaskan populariti ini.

Ia selalu tanpa sedar menjadikan sikap kita berubah.

Setiap kali bercakap atau menulis, kemudian percakapan dan penulisan kita diterima, ia menjadikan kita gembira (bersyukur?).

Kegembiraan itu mendorong kita untuk percaya bahawa apa yang kita cakap atau tulis itu betul. Di situ, kita meninggalkan satu langkah penting iaitu menyemak kembali dengan jujur, benarkah kita betul.

Betul bukan hanya dengan berfakta dengan fakta yang betul. Betul perlu terhasil daripada proses yang betul.

Itu yang saya belajar apabila Nabi Muhammad sallallāh ’alayhi wa sallam beri amaran,

من قال في القرآن برأيه، فقد أخطأ ولو أصاب

“barangsiapa yang bercakap tentang al-Quran berdasarkan pendapatnya semata-mata maka beliau salah, walaupun apa yang dikatakannya itu betul” (HR al-Tirmidhi)

Walaupun pendapat betul, ia bukan lahir dari rahim ilmu yang betul. Di situlah bahayanya. Di situlah salahnya.

Sebab itu percakapan perlu sentiasa lahir daripada ilmu dan pembelajaran yang benar.

Jika kita ada pengikut yang beribu berjuta, setiap yang kita perkata atau tulis mendapat ribuan atau jutaan sokongan, sedangkan kita sendiri pun tahu kata-kata itu bukan datang daripada sumber ilmu yang benar, tidak rujuk apa-apa pun, intuition, lahir hanya daripada kefasihan bercakap dan menulis dek banyaknya bercakap dan menulis… siapa yang boleh membetulkan kita?

Tanpa sedar kita mula ‘rasa bagus’. Ia mula menampakkan warna melalui vocabularies yang kita pakai. Cara kita menjawab soalan mula ada elemen ‘smug‘.

Lebih bahaya, kesalahan metode itu terselindung di sebalik positiviti toksik yang lunak di telinga massa. Digemari ramai, walaupun di dalamnya ada racun. Semasa semuanya positif, baik, melegakan, kita mula meremehkan masalah dengan rumusan-rumusan pseudosains bahawa semua itu hanya mainan perasaan atau fikiran.

Dan di dalam masyarakat kita sendiri yang apa jua bernuansa agama adalah laku, kita terdorong menyandar secara semberono permasalahan hidup kepada konsep-konsep agama yang terbiar longgar seperti “kurang mengingati Allah”, “lemah iman” dan yang seumpama dengannya.

Situasi sedemikian menjadikan kita mula berjalan setiap hari seumpama di bibir neraka. Menunggu hari untuk tergelincir, tersalah cakap, dan melakukan kesilapan yang berat.

Semasa kesilapan itu terjadi, kita berada di persimpangan.

Jika berhenti, melangkah setapak ke belakang, bermuhasabah dan membetulkan keadaan, kita terselamat.

Jika meneruskan perjalanan tanpa bermuhasabah, bertambahlah satu lagi lapisan talbis Iblis yang menyulitkan perjalanan untuk berubah.

Belajar dan tidak pernah berasa pandai pun ada bahayanya kerana kita boleh terheret ke daerah Impostor Syndrome. Namun tidak belajar tetapi sentiasa berasa pandai adalah bahaya yang lebih besar, terutamanya apabila sekali bercakap atau menulis, ia terus tersalin menjadi ribuan atau jutaan salinan di era kuasa tular hari ini.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.