Apakah usaha yang boleh dibuat untuk menghapuskan perasaan benci membenci dan marah antara satu sama lain di tanahair Malaysia, itu persoalan yang selalu saya fikirkan apabila bangun pagi di negeri jauh ini. Jika buka sahaja media sosial, setiap hari ada kemarahan baharu, kebencian, kontroversi, tidak berkesudahan.
Sampai saya tidak tahu dalam doa nak minta solusi dalam bentuk apa daripada Allah.
Teringat kisah ashāb al-Kahf di dalam al-Qur’ān… akhirnya doa mereka ialah “ya Allah kurniakanlah kepada kami daripada sisi-Mu, RAHMAT… (18:10).
Mungkin itulah yang kurang. Atau itulah yang tiada.

RAHMAT
Walaupun ramai orang mengaji agama, masjid banyak, kitab berlambak, semangat beragama tinggi, pejuang agama ramai, yang hilang adalah rahmat-Nya.
Rahmat itu sumber ketenangan.
Rahmat yang menyebabkan Nabi Yusuf duduk dalam perigi tapi berasa tenang. Ibrahim dalam api juga masih tenang, Yunus dalam gelap perut ikan turut tenang. Muhammad di dalam gua Thur yang sempit itu pun tenang lagi menenangkan Abu Bakr. Alayhim al-solat wa al-salam.
Apabila tiada rahmat, kaya agama pun miskin ketenangan, kemarau kebahagiaan.
Macam mana nak panggil rahmat Allah?
Entahlah… ilmu saya cetek.
Saya cakap pada anak-anak tak apalah kita duduk di tempat kurang sumber agama, tapi sungai, unggas dan awan tidak pernah lupa mengingatkan kita kepada Tuhan. Alam semulajadi itu pun Tuhan al-Quran yang Dia cipta sebagai ayat-ayat-Nya.
MALAIKAT PUN TINGGALKAN KITA
Salah silap perkara biasa, kelaziman manusia. Menegur dan membetul, perkara baik dan bermanfaat.
Apabila berlebih-lebihan menegur, berdebat dan berbalah, ia berubah menjadi kemungkaran. Melampau-lampau menegur, walaupun atas nama agama, menurut sangkaannya. Perangai buruk yang berleluasa di dalam masyarakat zaman ini.
Mendiamkan diri tatkala nasihat dan teguran berubah menjadi perdebatan, bukan kalah. Ia diam kerana Allah. Diam itu bukan lemah. Diam itu sebenarnya kekuatan.
بينما رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ جالسٌ ومعه أصحابُه، وقع رجلٌ بأبي بكرٍ فآذاه، فصمت عنه أبو بكر، ثم آذاه الثانيةَ، فصمت عنه أبو بكرٍ، ثم آذاه الثالثةَ فانتصر منه أبو بكر، فقام رسولُ اللهِ حين انتصر أبو بكر، فقال أبو بكرٍ : أوجَدتَ عليَّ يا رسولَ اللهِ ! فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : نزل ملَكٌ من السماء يكذِّبه بما قال لك، فلما انتصرتَ وقع الشيطانُ، فلم أكن لأجلس، إذ وقع الشيطانُ
الراوي : سعيد بن المسيب •الألباني •صحيح أبي داود • الصفحة أو الرقم: 4896 خلاصة حكم المحدث : حسن [لغيره] التخريج : أخرجه أبو داود (4896) واللفظ له، والبيهقي في ((شعب الإيمان)) (6669) باختلاف يسير. •
Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama para sahabat, seorang lelaki telah mencaci Abu Bakar RA. Kata-katanya menyakitkan, tetapi Abu Bakar memilih untuk diam. Lelaki itu mengulanginya lagi buat kali kedua, dan Abu Bakar tetap tidak membalas. Namun apabila celaan itu berterusan kali ketiga, Abu Bakar akhirnya menjawab untuk mempertahankan dirinya.
Saat itulah Rasulullah SAW bangun meninggalkan majlis tersebut.
Abu Bakar RA berasa hairan lalu bertanya, “Adakah aku telah membuatkan engkau marah kepadaku, wahai Rasulullah?”
Lalu Baginda SAW menjelaskan bahawa sepanjang Abu Bakar bersabar, seorang malaikat turun dari langit untuk menafikan dan mendustakan segala kata-kata dusta yang dilemparkan kepadanya. Tetapi apabila Abu Bakar mula membalas, syaitan pun datang. Dan Rasulullah SAW tidak mahu berada di majlis yang telah dihadiri syaitan.
Hadis ini sangat mendalam maknanya.
Orang yang disakiti memang mempunyai hak untuk membalas sekadar yang setimpal. Itu diharuskan. Namun sabar tetap berada di maqam yang lebih tinggi. Menahan diri ketika mampu membalas adalah akhlak yang sangat besar nilainya di sisi Allah. Ketika seseorang memilih untuk bersabar, dia bukan sekadar menahan lidah dan emosi, bahkan sedang membuka ruang untuk pertolongan Allah datang dengan cara yang mungkin tidak kelihatan pada pandangan mata.
Kemenangan yang sebenar ialah apabila kita tidak turun ke gelanggang yang sama. Kita menjaga diri, menjaga maruah, dan menjaga hati daripada ditarik masuk ke ruang yang dikuasai syaitan.
Sabar bukan bererti membiarkan kebatilan menang. Tetapi sabar mengajar kita bahawa bukan setiap serangan perlu disambut dengan serangan balas. Ada masa, diam itu lebih memuliakan. Ada masa, beredar itu lebih menyelamatkan. Dan ada masa, Allah sendiri mengutuskan pembelaan-Nya untuk orang yang memilih jalan sabar.
Kecenderungan orang kita bertengkar dan berdebat dalam kehidupan seharian, baik di dalam talian atau di luar, berisiko menyebabkan malaikat lari meninggalkan kita.
Di hujung perbalahan kumpulan mana lagi betul, pendapat siapa lagi hebat… akhirnya kita cuma nak Allah reda dan masukkan kita ke Syurga.
Sebelum mengharapkan Syurga sebenar di sana, kita perlu membina syurga kecil di sini, iaitu di dalam hati yang Tuhan limpahkan RAHMAT-NYA.
Rahmatilah tanahair kami ya Allah.
HASRIZAL
Oulu Finland
Rasa ada lagi yg tertinggal. Dikenakan DAM. Seingat² saya lah. Kalau tiada. Harap maaf.