Monday, March 10th, 2025

Tidak Berpuasa Kerana ADHD?

Selepas seminggu berada di dalam bulan Ramadan, saya masih berusaha untuk menyesuaikan diri dari segi strategi dan bagaimana untuk berfungsi dengan baik. Pada tahun-tahun sebelumnya, Ramadan hadir dengan cabaran baru, iaitu selepas menerima diagnosis dan mengambil stimulan, saya berdepan dengan masalah menentukan masa yang tepat untuk mengambil stimulan supaya dapat berfungsi dengan baik sepanjang hari. Tahun ini, Ramadan berlangsung dalam bulan Mac, yang bermaksud waktu Subuh masuk lebih kurang pada pukul 5:15 pagi. Oleh itu, saya mengambil stimulan ketika bersahur, sekitar pukul 5 pagi. Stimulan jenis prolong-released ini berfungsi dalam tubuh selama kira-kira 8 hingga 10 jam. 

CABARAN AWAL PAGI KE TENGAH HARI

Cabaran pertama yang saya hadapi ialah apabila saya mengambil stimulan pada waktu sahur, selepas solat Subuh, saya tidak dapat tidur semula walaupun waktu masih awal pagi. Kemudian, saya perlu berfungsi sepanjang hari untuk menyelesaikan tugasan universiti dan kerja-kerja lain. Apabila tiba waktu tengah hari, sekitar pukul 3 petang, kesan stimulan tersebut telah pun hilang daripada badan saya.

Perumpamaan yang selalu saya gunakan adalah seperti orang yang memakai cermin mata kerana rabun: apabila memakai cermin mata, penglihatan menjadi jelas, tetapi apabila menanggalkannya, penglihatan kembali kabur. Begitu juga dengan stimulan; apabila kesannya telah hilang, saya kembali kepada keadaan asal sebelum mengambilnya. 

CABARAN PETANG

Oleh itu, pada pukul 3 atau 4 petang, kerja-kerja membaca dan menulis menjadi semakin sukar. Apabila saya ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa sekitar pukul 4 atau 5 petang, banyak kemalangan kecil berlaku.

Saya sering mengalami insiden seperti barang terpelanting, tertumpah, pecah, atau patah. Saya perlu mengawal fikiran supaya tidak terlalu marah kepada diri sendiri kerana jika tidak, mood saya akan terganggu setiap kali memasak. 

SHORT-RELEASED STIMULANT

Namun, pada tahun ini, saya mencuba satu strategi baharu, iaitu mengambil stimulan jenis pelepasan segera ketika berbuka puasa. Stimulan ini berfungsi selama kira-kira 4 jam, yang sesuai untuk menyempurnakan solat Maghrib, Isyak, Tarawih, serta beberapa kerja lain pada waktu malam sebelum tidur. Namun, ia turut menambah kesukaran untuk saya melelapkan mata pada waktu malam.

Apabila saya mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam, sahur pula memerlukan saya bangun sekitar pukul 4 atau 4:30 pagi. Akibatnya, sepanjang Ramadan ini, saya hanya mendapat tidur sekitar 3 hingga 4 jam setiap malam. 

Kurang tidur yang berterusan ini memberi kesan kepada keupayaan kognitif saya, termasuk keupayaan untuk membaca, mengatur maklumat, menganalisis data, dan menulis. Ia sangat mencabar. Melalui perbualan dengan beberapa rakan, saya dapati cabaran ini turut dialami oleh ramai individu ADHD lain. 

TIDAK BERPUASA?

Saya tidak bersikap menghukum terhadap individu yang memilih untuk tidak berpuasa kerana ADHD, kerana pertama, ADHD bukanlah penyakit. Kedua, ADHD adalah satu kondisi sepanjang hayat yang perlu kita hadapi setiap tahun. Ramadan akan datang semula setiap tahun, dan kita akan tetap berhadapan dengannya dengan ADHD. Jika seseorang mendapati bahawa berpuasa menyebabkan kemudaratan besar yang menjejaskan pekerjaan, pembelajaran, atau keselamatan diri, itu adalah alasan yang boleh diterima. Namun, kita perlu berusaha untuk mencari strategi mengatasi cabaran ini kerana tidak wajar menjadikan ADHD sebagai alasan untuk tidak berpuasa setiap tahun. Dari sudut hukum agama, ia kurang munasabah, dan dari sudut pemberdayaan diri, kita perlu mencari cara agar ADHD tidak menjadi faktor yang melemahkan kita. ADHD adalah kelainan, dan kita harus mencari jalan bagaimana untuk mengatasinya apabila ia mendatangkan cabaran.

TERUS BERUSAHA

Maka, kita perlu berusaha dan bersolidariti bersama-sama. Pada masa yang sama, kita harus terus mencari ilmu, membaca kajian-kajian terkini, serta meneroka strategi-strategi yang berkesan, kerana setiap individu ADHD adalah unik. Walaupun kita berkongsi diagnosis yang sama, kesannya berbeza bagi setiap individu. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kesejahteraan, kesihatan, dan kekuatan azam kepada kita untuk meneruskan ibadah di bulan Ramadan ini. Kesabaran individu ADHD dan mereka di bawah payung neurodiversiti bukanlah kesabaran yang sepi, tetapi kesabaran yang dipandang oleh Tuhan dan dijanjikan oleh Nabi ﷺ dengan ganjaran syurga. Itulah destinasi yang kita semua impikan.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Memahami Punca Kertas Sejarah Kosong

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.