Khutbah Jumaat pada hari ini sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga. Kami solat Jumaat di Newbridge Town Hall, lokasi solat Jumaat untuk jemaah Masjid Newbridge.
Imam menyentuh berkenaan dengan kepentingan niat. Walaupun niat merupakan tajuk yang sering kali disebut, namun apabila kita menyentuhnya tanpa penghayatan yang mendalam, kita mungkin terlupa akan impak besar dan asas kukuh yang dibawa oleh niat dalam setiap amalan.
Sebagai pelajar syariah, perbincangan tentang niat bukanlah sesuatu yang asing. Pensyarah selalu menyentuh tentang kepentingan meluruskan niat, di permulaan subjek-subjek yang kami ambil. Ia menyambung tradisi ilmuan Muslim zaman berzaman. Hadis berkaitan niat sering kali menjadi antara yang terawal diletakkan di mukadimah koleksi riwayat yang dikumpulkan oleh para ulama hadis.
Namun apabila hal niat ini diulas secara bersahaja, ia kelihatan seperti rutin – sehingga kita mengabaikan impak besar niat. Bahkan terlepas pandang punca kerosakan hari ini yang mungkin datang daripada pengabaian terhadap urusan niat.
Sabda Rasulullah ﷺ, “Innamal a’malu binniyyat…” – sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Niat merupakan sesuatu yang pada zahirnya tampak mudah, tetapi hakikatnya sangat sukar. Kita boleh dengan mudah berkata “niat saya baik”, tetapi keikhlasan tidak boleh dibeli, tidak boleh dibuktikan secara luaran, dan tidak boleh disahkan oleh sesiapa kecuali Allah ﷻ.
Imam menyebut bahawa niat yang benar boleh menyebabkan seseorang memperoleh pahala walaupun belum melakukan amalan tersebut. Sebagai contoh, seseorang yang berniat untuk bersedekah tetapi terhalang, akan tetap diberikan ganjaran seperti orang yang benar-benar bersedekah – dengan syarat niat itu benar dan tulus.
Muhasabah Diri, Istighfar dan Realiti Taubat
Usai solat Jumaat, anak saya bertanya, “Macam mana nak tahu niat kita betul atau tidak?”
Saya menjawab bahawa manusia sepatutnya berkeupayaan untuk memeriksa diri sendiri. Ia adalah sebahagian daripada fungsi kognitif kita berkaitan self image. Namun dalam dunia hari ini, kita terlalu sibuk dengan hal luaran – apa orang kata, apa orang fikir – hingga kita mengabaikan hubungan dengan dalaman diri kita sendiri.
Sekiranya kita mempunyai keupayaan untuk bermuhasabah dengan jujur, kita akan dapat menjawab: “Benarkah niat saya ini kerana Allah? Atau sekadar kata-kata kosong?”
Soalan ini membawa si anak kepada pertanyaan lanjut: bagaimana pula dengan istighfar dan taubat? Adakah kita perlu benar-benar berasa menyesal?
Saya teringat kata-kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang pernah saya nukil dalam salah sebuah buku yang saya tulis.
Kata Tuan Guru, “istighfar kita pada hari ini memerlukan istighfar yang lain.”
Mengapa?
Kerana istighfar yang tidak disertai dengan penyesalan, pengakuan dosa, dan ketakutan terhadap murka Allah adalah seolah-olah kita mempermainkan Allah. Maka, istighfar yang dibuat tanpa makna sebenar, berisiko menjadi dosa. Lantas ia memerlukan istighfar lain untuk menampung kekurangannya.
Taubat dalam Islam pada zahirnya adalah perkara yang paling mudah dan paling sukar. Ia tidak memerlukan orang tengah, tidak memerlukan kos, tidak bergantung kepada sesiapa. Ia boleh dilakukan bila-bila masa dan oleh sesiapa sahaja.
Namun, ia juga adalah cara yang paling susah. Taubat yang sebenar hanya lahir daripada penyesalan yang sebenar, sesuatu yang tidak boleh dibuat-buat atau dibeli. Bila seseorang benar-benar menyesal, maka Allah amat pantas memberikan keampunan.

Ikhlas dan Niat sebagai Penentu Nasib di Akhirat
Imam mengakhiri khutbahnya dengan membawa dimensi lain dalam isu niat, melalui hadis Abu Hurairah RA tentang tiga golongan pertama yang dicampakkan ke dalam neraka. Mereka ini bukan orang biasa – bahkan pejuang mati syahid, alim dan hafiz Al-Quran, serta dermawan.
“ إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل اسُتشهد، فأتي به، فعرفه نعمته، فعرفها، قال: فما عملت فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى اسُتشهدت، قال: كذبت، ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء، فقد قيل، ثم أمر به، فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلمه، وقرأ القرآن، فأتي به، فعرفه نعمه فعرفها. قال فما عملت فيها؟ قال تعلمت العلم وعلمته وقرأت فيك القرآن. قال كذبت، ولكنك تعلمت ليقال: عالم. وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ، فقد قيل: ثم أُمر به، فسُحب على وجهه حتى ألقي في النار، ورجل وسع الله عليه، وأعطاه من أصناف المال، فأتي به فعرفه نعمه، فعرفها. قال: فما عملت فيها ؟ قال: ما تركت من سبيل تحب أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك، قال: كذبت، ولكنك فعلت ليقال: جواد، فقد قيل، ثم أُمر به فسُحب على وجهه ثم ألقي في النار” ((رواه مسلم))
Abu Hurairah RA berkata:
Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
“Orang yang pertama sekali diadili pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Dia dibawa menghadap, lalu Allah mengingatkannya akan segala nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan dia pun mengakuinya. Kemudian Allah bertanya: ‘Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat itu?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku telah berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur syahid.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta. Engkau berperang agar orang mengatakan bahawa engkau seorang yang berani, dan perkara itu telah pun dikatakan.’ Maka diperintahkan agar dia diseret atas wajahnya, lalu dicampakkan ke dalam neraka.
Kemudian dibawa pula seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarkannya, dan membaca al-Quran. Dia dibawa menghadap, lalu Allah mengingatkannya akan segala nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat itu?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku telah mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membaca al-Quran kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta. Engkau mempelajari ilmu supaya dikatakan engkau seorang alim, dan engkau membaca al-Quran supaya dikatakan engkau seorang qari, dan perkara itu telah pun dikatakan.’ Maka diperintahkan agar dia diseret atas wajahnya, lalu dicampakkan ke dalam neraka.
Kemudian dibawa pula seorang lelaki yang Allah lapangkan rezekinya dan dikurniakan harta yang melimpah. Dia dibawa menghadap, lalu Allah mengingatkannya akan segala nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat itu?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku tidak meninggalkan satu jalan pun yang Engkau suka agar harta dibelanjakan padanya melainkan aku telah membelanjakannya kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta. Engkau melakukan semua itu agar orang mengatakan engkau seorang yang dermawan, dan perkara itu telah pun dikatakan.’ Maka diperintahkan agar dia diseret atas wajahnya, lalu dicampakkan ke dalam neraka.”
[Hadis riwayat Muslim]
Ketiga-tiga mereka ditolak oleh Allah SWT kerana niat mereka bukan kerana-Nya. Pejuang itu berjuang kerana ingin dipuji sebagai berani. Alim itu menyampaikan ilmu supaya disebut sebagai hebat. Dermawan itu bersedekah agar digelar pemurah. Kesemua mereka telah pun menerima ganjaran dunia – pujian manusia – dan di akhirat mereka tidak mendapat apa-apa, malah dicampakkan ke dalam neraka.
Hadis ini menuntut kita untuk melakukan mujahadah besar terhadap niat, kerana dalam dunia yang sarat dengan keinginan terhadap pengiktirafan dan validasi orang lain, keikhlasan menjadi semakin terhakis. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah kita benar-benar ikhlas? Kerana keikhlasan itu tidak boleh dipalsukan. Kita tahu dalam hati kita – walaupun orang lain tidak tahu.
Bahkan jika dunia memuji dan mengenang kita sebagai pemurah, berilmu, atau syahid, tetapi niat dalam hati kita bukan kerana Allah, maka pujian dunia itu tidak mampu mengubah realiti akhirat. Segala pujian dan rekod sejarah tidak akan melindungi kita dari hakikat sebenar niat yang akan didedahkan di hadapan Allah SWT.
Apakah tujuan sebenar kita buat sesuatu perkara dalam hidup ini?
Di media sosial?
Di rumah sendiri?
Ikhlaskah kita?
Jawablah dengan jujur dengan bersunyi-sunyian, memeriksa isi hati. Jawapan itu tidak perlu disuarakan kepada sesiapa. Ia jawapan yang diri kita sendiri perlukan, kerana kita sedang di persimpangan, antara Syurga, dengan Neraka.