“Kelakar, kan?” kata seorang remaja.
Beliau ketawa menonton video aksi bodoh di telefonnya.
“Memang lawak… tapi kalau anak aku nanti jadi macam ni, aku menangis,” balas rakannya.
Nada beliau separuh bergurau, separuh bimbang.
Apakah yang berlaku apabila bahan ketawa itu menjadi sumber ratapan? Apabila kelucuan itu menjelma sebagai ancaman? Dalam dunia yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi, kebodohan bukan lagi satu bahan jenaka atau hiburan ringan. Ia telah menjelma menjadi sejenis penyakit masyarakat yang merosakkan asas peradaban manusia.
Fenomena kebodohan menjadi ancaman sosial dan moral.
Ia diperingatkan oleh Rasulullah ﷺ sebagai tanda-tanda akhir zaman.
Kebodohan: Daripada Hiburan Kepada Wabak Sosial
Pada era awal 2000-an, rancangan televisyen seperti Jackass mempopularkan aksi-aksi berbahaya dan tidak masuk akal sebagai bahan hiburan. Kelakuan bodoh menjadi kandungan popular, dirakam dan ditonton berjuta-juta kali. Pada ketika itu, ia mungkin kelihatan remeh, bahkan lucu. Namun, apabila kandungan seperti itu menjadi norma, ia mula meresap ke dalam struktur masyarakat secara tidak sedar.
Di tanahair kita juga, lawak bodoh di dalam drama, filem, radio dan pentas aksi, berleluasa dan meninggalkan era jenaka generasi sebelumnya tercampak jauh ditelan nostalgia masa.
Sekolah yang sepatutnya menjadi institusi mencambah pemikiran dan nilai, semakin merosot peranannya. Pendidikan bekerja keras menghasilkan generasi yang mungkin celik teknologi tetapi rabun akal budi. Kebodohan bukan lagi soal kurang pengetahuan, tetapi sikap menolak nilai, ilmu, dan kebijaksanaan.
Upaya ‘mantik’ turun.
Cerdik, pandai, bijak, kedengaran sebagai perkataan-perkataan elit, walaupun ia sepatutnya menjadi ciri asasi manusia. Gagal pandai hakikatnya bermaksud ada defisit pada kemanusiaan kita.
Kepimpinan dan Normalisasi Kebodohan
Fenomena kebodohan tidak terhad kepada rakyat biasa, malah telah menembusi lapisan kepimpinan. Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Donald Trump menjadi contoh bagaimana seseorang yang sering mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal masih boleh mendapat sokongan dan menjadi pemimpin negara. Kebodohan bukan sahaja diterima, malah diangkat dan diraikan.
Ini adalah petanda bahaya. Apabila masyarakat merelakan pemimpin yang dangkal dan tidak berintegriti, maka seluruh sistem sosial akan terdedah kepada kerosakan. Ia membuka ruang kepada polarisasi, ketidakadilan, dan penindasan berselindung di sebalik retorik populis.
Ia menjadi medan perang yang senjatanya bukan pedang, peluru atau bom, tetapi akal yang songsang dan kebodohan yang meracun.
Mangsa boleh terkorban dalam keadaan tercekik dengan ketawa. Seumpama katak yang mati direbus kerana tidak sedar air semakin panas perlahan-lahan dengan seribu satu justifikasi bahawa tiada masalah dan “tak mengapa!”
Kebodohan Dalam Sorotan Hadith Nabi ﷺ
Islam sejak awal lagi memberi perhatian kepada bahaya kebodohan. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
وَإِذَا رَأَيْتَ الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الصُّمَّ الْبُكْمَ مُلُوكَ الأَرْضِ فَذَاكَ مِنْ أَشْرَاطِهَا
“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, tuli dan bisu menjadi raja-raja di bumi, maka itu antara tanda-tanda Kiamat.”
(Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Hadith 7)
Begitu juga dalam riwayat Musnad Ahmad:
يُوشِكُ أَنْ يَغْلِبَ عَلَى الدُّنْيَا لُكَعُ بْنُ لُكَعٍ
“Akan datang masa di mana dunia akan dikuasai oleh ‘Luka’ bin Luka’ (yakni orang bodoh yang tidak berkelayakan).”
(Musnad Ahmad, Hadith 23651)
Hadith-hadith ini memberi amaran bahawa kebodohan bukan sahaja wujud, tetapi akan mendominasi dunia menjelang akhir zaman. Pemimpin-pemimpin yang berkuasa di akhir zaman akan terdiri daripada golongan yang langsung tiada ciri kepimpinan. Mereka ialah orang yang bodoh dan hina, tetapi menang kerana dipilih oleh masyarakat yang sudah tidak lagi melihat sifat bodoh dan hina itu sebagai kekurangan yang tidak layak berada pada seorang pemimpin.
Istilah ‘Luka’ dalam bahasa Arab pada asalnya merujuk kepada hamba abdi. Namun dalam penggunaan masyarakat Arab, ia membawa maksud lebih luas – merujuk kepada seorang yang bebal, bukan bebal biasa, tetapi kebebalannya nyata dan terbuka. Luka’ ialah orang yang bukan sahaja tidak tahu, tetapi berbangga dengan ketidaktahuannya, angkuh dalam mempertahankan kebodohannya, dan mendatangkan mudarat kepada orang lain dengan tindakan yang tidak berasaskan ilmu dan pertimbangan yang waras.
Apabila orang seperti ini diberi kuasa, kesan buruknya melangkaui dirinya sendiri. Ia menjadi penyakit sistemik yang menular dalam struktur pemerintahan, pentadbiran, dan kehidupan awam. Dalam konteks ini, kebodohan tidak lagi bersifat individu, tetapi menjadi ideologi yang diterima dan disokong oleh massa yang keliru.
Media Sosial: Mesin Penyebar Kebodohan
Kecanggihan teknologi dan kemunculan media sosial telah mempercepatkan penyebaran kebodohan. Di TikTok, YouTube, dan Instagram, gelagat-gelagat dangkal menjadi tontonan berjuta-juta orang. Apabila kebodohan dihargai dengan ‘likes’ dan ‘views’, maka tidak hairan jika generasi muda mula menganggap ia sebagai sesuatu yang perlu dicontohi. Lebih baik bodoh tetapi popular dan kaya, berbanding cerdik tetapi hidup susah dan tidak mendapat perhatian dunia.
Kita tidak lagi hidup dalam zaman maklumat, tetapi dalam zaman keterlaluan maklumat tanpa penapisan. Tanpa nilai dan pemikiran kritikal, pengguna mudah terperangkap dalam arus hiburan bodoh yang tidak membina.
Muhasabah dan Tindakan
Kebodohan bukan sekadar kelemahan individu, tetapi ancaman kepada kemanusiaan. Ia mencacatkan martabat manusia dan meruntuhkan peradaban. Islam, meskipun agama yang benar dan sempurna, tidak menjamin umatnya terpelihara daripada bencana kebodohan ini jika mereka sendiri lalai dan tidak mengambil iktibar. Kebenaran Islam tidak secara automatik membebaskan umat Islam daripada kemungkinan terjerumus ke dalam fenomena ‘Idiocracy’ ini.
Janganlah kita leka mentertawakan kebodohan orang lain, sedangkan kita sendiri mungkin sedang perlahan-lahan melangkah ke arah kemusnahan yang sama. Fenomena ini tidak mengenal sempadan bangsa atau agama – ia menyerang sesiapa sahaja yang meninggalkan ilmu, menolak hikmah, dan memuliakan yang dangkal.
Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Kebodohan yang menular dalam pelbagai bentuk – dari televisyen, media sosial hingga ke parlimen – mesti ditangani dengan ilmu, hikmah dan tindakan. Masa depan anak-anak kita bergantung kepada keberanian kita untuk menolak kebodohan dan menegakkan kebenaran.
Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk menjadi masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab. Amin.