Mengapa Keputusan Peperiksaan Tidak Patut Jadi Penanda Aras
Pendidikan di Malaysia sering kali dikaitkan dengan keputusan peperiksaan. Keputusan seperti SPM dan STPM dianggap sebagai penentu utama kejayaan akademik. Namun, adakah wajar menjadikan keputusan peperiksaan sebagai KPI untuk pelbagai pihak selain pelajar?
Salah satu sebab utama mengapa keputusan peperiksaan tidak sepatutnya menjadi KPI adalah risiko dan manfaat pihak yang terlibat. Apabila keputusan pelajar menjadi KPI bagi guru, pengetua, atau pihak pendidikan, terdapat potensi untuk manipulasi data. Ini kerana keputusan peperiksaan dijadikan penanda aras mengukur perkara-perkara yang terpisah daripada pembelajaran murid. Ada pelbagai faktor lain yang mempengaruhi, tetapi dikesampingkan dengan memberi fokus hanya kepada markah dan gred murid.
Lebih buruk lagi, apabila mekanisme semakan dan pentaksiran tidak telus, ketidakpercayaan terhadap integriti keputusan peperiksaan tercetus. Dalam usaha untuk mencapai KPI yang ditetapkan, ada kemungkinan berlaku manipulasi keputusan peperiksaan. Ini boleh menyebabkan penyimpangan dalam penilaian sebenar prestasi pelajar dan guru. Kepercayaan terhadap keputusan peperiksaan akan terjejas apabila masyarakat mula percaya kepada khabar angin dan hilang kepercayaan terhadap integritinya.
Pihak bertanggungjawab tidak menghampiri solusi apabila tindakan mempersoal perkara ini diselar dengan label-label yang tidak munasabah sedangkan masyarakat berhak mengetahui perinciannya kerana ia membabitkan masa hadapan anak-anak mereka. Kementerian berada di posisi berkhidmat kepada rakyat dengan membekalkan maklumat yang diperlukan.
Menilai Alternatif: Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Negara seperti Finland telah mengadaptasi sistem pentaksiran yang lebih organik. Mereka tidak membandingkan keputusan peperiksaan antara sekolah atau negeri. Sistem ini mengutamakan integriti penilaian oleh guru dan tidak menekan guru untuk mengubah keputusan pelajar demi memenuhi KPI mana-mana pihak.
Mengapa Sistem Finland Berjaya
- Kepercayaan Terhadap Guru: Di Finland, guru diberi kepercayaan penuh untuk menilai pelajar. Ini kerana penilaian mereka dianggap berintegriti dan profesional. Guru tidak mempunyai sebab untuk tidak telus mentaksir murid di bawah didikannya.
- Fokus pada Perkembangan Pelajar: Penilaian di Finland lebih tertumpu kepada perkembangan harian pelajar, bukan semata-mata keputusan akhir peperiksaan.
- Budaya Pendidikan yang Holistik: Masyarakat Finland tidak mengagungkan keputusan peperiksaan, sebaliknya melihatnya sebagai satu aspek kecil dalam perjalanan pendidikan.
Sistem pendidikan yang efektif bukan sahaja bergantung kepada struktur pentadbiran tetapi juga kepada budaya masyarakat dan prinsip pegangan sistem yang beroperasi.
Reformasi Budaya Pendidikan
- Pendidikan Holistik: Menekankan pentingnya pembelajaran sebagai agenda sepanjang hayat, menjauhi perangkap ‘hype’ keputusan peperiksaan.
- Integriti dan Kepercayaan: Memastikan penilaian adalah telus dan berintegriti, dengan guru yang bebas, tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam mentaksir pelajar.
- Pendidikan Berasaskan Nilai: Mengutamakan nilai seperti keadilan dan ihsan dalam sistem pendidikan, selari dengan ajaran Al-Quran dan al-Sunnah untuk umat Islam. Islam bukan hanya slogan dan rujukan ibadah khusus, tetapi turut mencorak polisi dan operasi semua lapangan kehidupan.
Kesimpulan: Membentuk Masa Depan Pendidikan
Mengubah sistem pendidikan untuk tidak disibukkan oleh sentimen seputar keputusan peperiksaan adalah langkah untuk kita maju ke hadapan. Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pendidikan tetapi juga membolehkan pelajar menikmati proses pembelajaran yang lebih bermakna dan holistik. Pelajar memerlukan keputusan peperiksaan yang menjelaskan realiti sebenar mereka. Apatah lagi untuk mereka keluar daripada persekitaran pembelajaran tempatan yang terkawal, kepada persekitaran antarabangsa yang bakal mendedahkan standard sebenar masing-masing.
Sistem pendidikan yang baik bukan sahaja mempersiapkan pelajar untuk peperiksaan, tetapi juga untuk kehidupan. Dengan mengamalkan pendekatan yang lebih berfokus kepada perkembangan dan pencapaian keseluruhan, kita boleh membentuk generasi yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.
Pendidikan adalah amanah daripada Allah SWT.
Amanahlah dalam menunaikannya.
Ia jalan islah.