Surah ‘Abasa dan Kisah Abdullah ibn Umm Maktum RA: Cerminan Islam dalam Pendidikan Inklusif

Baru-baru ini saya menghadiri sebuah bengkel intensif selama dua hari sebagai salah seorang Duta LaunchPAD – sebuah inisiatif penting oleh AHEAD dan National Disabled Postgraduate Advisory Committee (NDPAC) di Ireland. LaunchPAD bertujuan untuk meningkatkan penyertaan pelajar berkeperluan khas di peringkat pengajian pascasiswazah dan ijazah kedoktoran. Sebagai seorang pelajar sarjana pendidikan dalam pengkhususan Diversity and Inclusion, serta seseorang yang hidup dengan ADHD, saya rasa bertanggungjawab untuk menyumbang suara dalam perbincangan-perbincangan dasar yang berlangsung sepanjang bengkel tersebut.

Namun, apa yang lebih mengusik jiwa saya sepanjang bengkel ini bukan sekadar isi kandungannya, tetapi muhasabah peribadi yang mendalam mengenai pendidikan inklusif daripada perspektif Islam.

Saya terkenang kepada satu kisah yang abadi dalam wahyu: teguran Allah SWT terhadap Nabi Muhammad ﷺ dalam Surah ‘Abasa — peristiwa yang melibatkan Abdullah ibn Umm Maktum RA.

Antara Prioriti Dakwah dan Teguran Ilahi

Surah ‘Abasa dimulakan dengan ayat:

“عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ . أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ”

“Dia bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang kepadanya seorang yang buta.” [Surah ‘Abasa, 80:1-2]

Nabi ﷺ sedang berdakwah kepada para pemuka Quraisy. Strateginya berasaskan logik: jika mereka menerima Islam, pengaruh mereka akan membuka jalan yang lebih luas untuk penyebaran risalah. Namun, datang seorang sahabat — Abdullah ibn Umm Maktum RA — yang ingin belajar, ingin dididik. Baginda tidak mengusir beliau, tetapi telah mengalihkan fokus dan mengubahsuai keutamaan. Lalu Allah SWT menegur — bukan secara langsung menggunakan kata ganti “engkau”, tetapi dengan gaya orang ketiga. Ia memang ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi baginda digambarkan seolah-olah baginda menjadi jauh daripada Allah apabila menjauhkan diri daripada Abdullah ibn Umm Maktum, ‘murid berkeperluan khas’ itu.

Teguran itu menunjukkan betapa besarnya nilai seseorang yang ingin belajar, meskipun disangka tidak membawa apa-apa “faedah strategik” dari sudut pandang duniawi. Nilai ilmu dalam Islam tidak bergantung pada latar belakang, kekayaan, status atau keupayaan fizikal seseorang. Ia hak setiap manusia, agenda utama manusia dicipta-Nya, menjadi Khalifah di muka bumi ini.

Apabila “Beban” Menjadi Paradigma

Dalam realiti pendidikan hari ini, tidak sukar untuk mendengar keluhan bahawa usaha menjadikan sekolah atau universiti inklusif itu melecehkan. “Menyusahkan aliran sedia ada,” kata sesetengah pihak. Mungkin tidak disebut secara terang-terangan, tetapi hal ini dirasai, bahkan dihayati sebagai satu bentuk beban.

Namun, sebagai Muslim, wajarkah kita berpegang pada pandangan tersebut?

Apakah kedudukan kita jika kita membaca Surah ‘Abasa tetapi tidak mengambil ibrah daripadanya dalam dunia pendidikan?

Pendidikan Islam dan Fleksibiliti Syariah

Islam sentiasa mendahulukan pengangkatan kesulitan (رفع الحرج) dan memberi pilihan (الرخصة) apabila wujud halangan. Prinsip-prinsip ini jelas dalam ibadah:

Tidak boleh berdiri, solatlah duduk. Tidak boleh duduk, solatlah baring.

Tatkala ibadah yang merupakan kewajipan utama pun diberi rukhsah apabila wujud kekangan fizikal atau sebarang keuzuran, bagaimana pula dengan urusan pendidikan?

Biar pun pendidikan bukan ibadah khusus, ia adalah urusan wajib, fardu ke atas setiap Muslim dan Muslimah. Menghilangkan penghalang (barriers) kepada pendidikan adalah tanggungjawab.

Dan jika sistem pendidikan semasa — sama ada kurikulum, kaedah pengajaran, atau bahkan seni bina sekolah — mewujudkan halangan (barriers), tidakkah menjadi tanggungjawab kita untuk mengubahnya?

Foto duta-duta LaunchPAD bersama warga kerja AHEAD serta Dr Vivian Rath
Maklumat lanjut mengenai LaunchPAD dan peranan kami sebagai dutanya boleh dilihat di https://www.ahead.ie/launchpad-ambassadors

Universal Design for Learning (UDL): Satu Jambatan?

Dalam bengkel LaunchPAD, kami banyak berbincang tentang Universal Design for Learning (UDL). Ia juga salah satu modul induk program sarjana saya sekarang ini. UDL merupakan satu pendekatan pedagogi yang merancang kurikulum agar fleksibel sejak dari awal. Prinsip utamanya ialah:

  • guru menyampaikan kandungan pembelajaran dalam pelbagai format, atau format yang berpotensi dipelbagaikan,
  • pelajar berbeza cara mereka belajar, dan berbeza dari segi penglibatan mereka terhadap kandungan.
  • pelajar berbeza cara mereka menyampaikan pemahaman.

Prinsip-prinsip ini amat dekat dengan roh pendidikan Islam yang asal — bersifat tidak rigid, mengiktiraf perbezaan, dan berpusatkan individu.

Kita Semua Berbeza – dan Itu Normal

Dalam pendidikan Islam, tidak ada sesiapa pun yang datang kepada Nabi ﷺ untuk belajar ditolak kerana status, umur, atau keadaan fizikal. Prinsip besarnya tertonjol melalui kisah Abdullah ibn Umm Maktum RA. Beliau tidak hanya diterima, tetapi juga pernah dilantik menjadi muazzin, dan diberikan tanggungjawab besar ketika Nabi ﷺ keluar bermusafir.

Siapa kita untuk menghalang budak cacat, budak berspektrum, budak yang ‘menyusahkan’ itu, daripada mencapai potensi sebenar malah menjadi begitu bermanfaat kepada ummah, melangkaui sangkaan awal kita terhadap limitasi mereka?

Bayangkan jika Rasulullah ﷺ meletakkan “standardisasi” sebagai syarat untuk menjadi penuntut ilmu.

Penutup: Inklusif Itu Bukan Trend, Tetapi Amanah

Saya tidak mendakwa semua konsep pendidikan inklusif dari Barat sesuai seratus peratus dengan nilai-nilai kita. Tetapi untuk menolak prinsip inklusif atas dasar “itu bukan budaya kita” adalah satu kerugian besar, apatah lagi apabila sejarah, wahyu dan sunnah telah lebih dahulu mendahului dalam prinsip tersebut.

Pendidikan Islam mesti kembali menjadi ruang selamat dan bermanfaat. Para pendidik Muslim wajar menjadi barisan hadapan yang mengangkat nilai rahmah dalam mendidik — termasuk kepada mereka yang sering kali tidak kelihatan dalam radar pendidikan arus perdana.

Semoga kita tidak lagi berpaling.

“وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ”

“Dan apa yang membuatmu tahu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dengan pelajaran itu)?” [Surah ‘Abasa, 80:3]

Hasrizal Abdul Jamil
M.Ed. (Diversity and Inclusion)
Trinity College Dublin
Duta LaunchPAD

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

“Humane” (2024): Apabila Tinggal Kepentingan Sendiri, Siapa Kita Sebenarnya?

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.