“Humane” (2024): Apabila Tinggal Kepentingan Sendiri, Siapa Kita Sebenarnya?

Humane ialah filem thriller distopia arahan sulung Caitlin Cronenberg yang ditayangkan pada tahun 2024. Berlatar dunia pasca-keruntuhan ekologi, kerajaan Amerika Syarikat telah memperkenalkan dasar pengurangan populasi melalui program eutanasia sukarela dan wajib. Kisah berpusat pada keluarga York, sebuah keluarga kelas atasan yang dihormati, apabila si bapa, Charles York (lakonan Peter Gallagher), mengumumkan hasrat untuk menyertai program tersebut bersama isterinya, Dawn Kim (lakonan Uni Park). Namun, keadaan berubah apabila si ibu menghilangkan diri—dan salah seorang daripada anak-anak mereka mesti ‘menggantikan’ tempatnya.

Anak-anak Charles terdiri daripada Jared York (Jay Baruchel), seorang ahli antropologi kontroversial; Rachel York (Emily Hampshire), Ketua Pegawai Eksekutif syarikat farmaseutikal; Ashley York (Alanna Bale), seorang pelakon yang sedang bergelut dengan relevansi; dan Noah York (Sebastian Chacon), seorang pemuzik yang sedang dalam pemulihan daripada ketagihan. Noah adalah anak angkat keluarga berkenaan.

Turut terlibat ialah cucu mereka, Mia York (Sirena Gulamgaus), remaja tunggal dalam keluarga itu.

Seorang lagi watak penting ialah Bob (lakonan Enrico Colantoni), wakil agensi kontraktor euthanasia D.O.C.S yang dihantar ke rumah mereka untuk melaksanakan prosedur tersebut.

Saya menonton Humane di saluran Paramount di Ireland, dan keluar dari tontonan itu dengan fikiran yang berserabut. Ia filem ringan, tontotan petang-petang di hujung minggu. Saya sahaja yang suka melihat makna-makna di sebalik simboliknya watak dan jalan cerita filem ini.

Humane bukan sekadar cerita fiksyen yang menyeramkan. Ia adalah renungan tajam tentang siapa kita, tentang betapa mudahnya moral dan nilai runtuh apabila diletakkan dalam krisis sebenar—terutamanya apabila melibatkan kuasa dan kelangsungan hidup.

Keluarga York bukan sebarangan. Mereka golongan berada, terpelajar, dan berjaya. Masing-masing bergelar profesional—ada doktor, aktivis, ahli politik, wartawan. Namun apabila ibu bapa mereka tiada, dan ruang kuasa dibuka, segalanya terlerai. Nilai kekeluargaan, akhlak, dan prinsip yang selama ini dibentuk oleh pendidikan dan status, hancur sedikit demi sedikit. Humane mengajak kita bertanya: apakah semua itu benar-benar membentuk kita, atau sekadar menyembunyikan watak asal yang lebih primitif?

Watak Jared sangat menonjol. Licik, strategik, manis mulut dan tanpa belas. Dia menjelmakan sisi manusia yang sanggup menindas atas nama keperluan, sanggup menipu atas nama tanggungjawab. Dan apa yang paling menakutkan ialah betapa dia tidak terasa asing—kerana kita kenal ‘Jared’ dalam kehidupan kita sendiri.

Satu lagi adegan yang sangat menarik perhatian saya ialah dialog antara Bob dan Mia York. Mereka berdua menunggu di dalam van ketika adik-beradik keluarga York sedang berbunuh-bunuhan di dalam rumah agam ibu bapa mereka. Sebahagian besar filem ini adalah perjalanan untuk tentukan siapa yang harus ‘menggantikan’ tempat si ibu. Mia dikecualikan kerana menurut Bob, mereka tidak akan dibayar oleh kerajaan untuk melaksanakan prosedur ke atas individu bawah umur. Dalam van, hanya mereka berdua duduk berbicara—dua generasi yang memegang perspektif berbeza tentang dunia yang sedang runtuh.

Mia menyindir Bob dengan berkata bahawa generasinya telah merosakkan dunia. Bob menjawab dengan tenang bahawa generasi mereka telah berusaha menyediakan banyak perkara baik untuk anak-anak. Namun, jawapan itu disambut Mia dengan komen sinis: “Whatever!”

Dan buat pertama kali saya menyaksikan sebuah filem memaparkan reaksi yang paling memuaskan hati saya secara peribadi. Bob, yang selama ini kelihatan profesional dan tenang, hilang sabar lalu menjerkah Mia dengan kata-kata: “Berhenti daripada perangai biadab macam itu!”

Adegan itu menusuk hati saya—seakan-akan dada dipanah petir dari langit. Ia mengingatkan saya kepada banyak situasi dalam kehidupan sebenar, apabila nasihat yang diberi dengan ikhlas dibalas dengan sikap sinis dan jawapan acuh tak acuh terutamanya oleh remaja perempuan seperti Mia. Generasi berbahasa toksik ini sungguh melelahkan.

Ironinya, saya tidak merasakan filem ini terlalu jauh daripada realiti. Ketika memikirkan situasi politik Amerika Syarikat di bawah penggal kedua Donald Trump — di mana dasar ekstrem dan retorik populis menjadi norma — filem ini terasa seperti menonton berita harian dari negara berkenaan.

Bahagian paling mendalam kesannya kepada saya ialah persoalan tentang hubungan adik-beradik selepas ketiadaan ibu bapa. Kita sering menganggap kasih sayang darah daging akan cukup untuk menyatukan. Tetapi Humane membuka satu hakikat yang jarang dibicarakan: bahawa kehilangan ibu bapa adalah ujian besar terhadap maruah, kesetiaan, dan siapa kita tanpa ‘pengadil’ dalam keluarga. Dalam situasi sebenar, ramai daripada kita akan bergelut—bukan dengan musuh luar, tetapi dengan darah daging sendiri.

Akhirnya, Humane ialah sebuah muhasabah kembara dalam jiwa manusia yang primitif, sama semenjak dahulu hingga ke akhir zaman. Kita sentiasa bergerak antara kebinatangan dan kemalaikatan. Ia menunjukkan bahawa dalam saat krisis, segala identiti sosial hanyalah kulit nipis yang boleh terkopek bila-bila masa. Dan pada saat itu, siapa diri kita yang sebenar akan muncul, tanpa topeng.

Jika anda suka mencari idea provokatif di dalam sebuah filem ringan yang membosankan, saya persilakan menonton Humane. Jangan salahkan saya andai anda tidak menemui apa yang dicari.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Muhasabah SPM: Pendidikan Untuk Semua Atau Kecemerlangan Sebahagian Murid?

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.