Diam Kerana Allah: Antara Pesan Carl Jung dan Wasiat Nabi ﷺ

Menjelang usia saya yang ke-50 beberapa minggu yang lalu, saya kembali memuhasabah perjalanan hidup—terutama dalam dunia penulisan dan dakwah yang telah saya sertai selama berpuluh tahun. Saya masih ingat bagaimana satu ketika dahulu saya berasa terpanggil untuk mengulas hampir semua isu semasa. Segala perkara, saya kaitkan dengan Islam lantas saya wajar mengulasnya. Pada pandangan saya ketika itu, segala-galanya perlu dijelaskan dari sudut agama.

Namun sedikit demi sedikit, saya mula berundur.

Saya melihat, manfaat tulisan saya ada dua kisah di sebalik kepingan syiling yang sama. Ada masanya, ia nampak bermanfaat. Ada masanya, ia menatijahkan mudarat. Manfaat terhasil, kerana saya menulis perkara bermanfaat. Mudarat lahir, kerana reaksi masyarakat dan gelora dalaman menatijahkan kesan yang saya tidak sangka.

Masyarakat mula mendesak saya bercakap apa yang mereka mahu saya cakap. Bukan lagi menghargai apa yang saya fikir mereka perlukan. Tulisan saya mula menjadi saluran suara mereka melalui saya, bukan lagi suara saya hasil saya berfikir mengenai keperluan mereka.

Ia isu yang kompleks.

Ia mungkin menjadi punca penulis dan pembaca sama-sama jatuh sakit.

Bukan kesan satu malam, sebaliknya perlahan-lahan sepanjang hampir tiga dekad berinteraksi.

Saya mula menyempitkan fokus kepada pendidikan—satu medan yang saya percaya paling kukuh, lestari dan menyentuh akar kehidupan manusia. Saya tutup akaun media sosial Hasrizal 1.0, dan memulakan perjalanan baharu. Dalam proses itu, saya kehilangan ramai pengikut. Sejak tahun 2015, komen-komen seperti “susah hendak faham ceramah Ustaz Hasrizal”, “tulisan berat dan tidak relevan” mula kedengaran. Saya berdamai membacanya, kerana ia sebahagian yang saya harapkan.

Namun, apabila topik pendidikan jadi popular, masyarakat mula membicarakan pendidikan di dalam debat yang tidak berkesudahan, tulisan-tulisan saya dalam genre itu kembali diberi perhatian. Penyakit lama yang saya larikan diri itu, seperti kembali datang menghantui kehidupan.

Di sebalik semua itu, saya sedar satu perkara yang sangat besar. Saya semakin memahami falsafah individuation oleh Carl Jung—bahawa menjadi diri sendiri memerlukan seseorang berakar kepada dirinya, bukan kepada reaksi orang ramai.

“Individuation means becoming an ‘in-dividual,’ and, in so far as ‘individuality’ embraces our innermost, last, and incomparable uniqueness, it also implies becoming one’s own self.”
— Carl Jung, The Collected Works of C.G. Jung, Volume 7: Two Essays on Analytical Psychology (Jung, 1953, p. 173)

Saya tidaklah bersetuju dan menerima bulat-bulat semua buah fikiran Carl Jung. Tetapi saya suka membacanya perlahan-lahan, merentas masa dan perkembangan.

Saya mula sedar, individuation yang Carl Jung usulkan, bukan tentang mengasingkan diri dari manusia. Ia adalah tentang kesedaran bahawa saya hanya mampu mengawal satu perkara—diri saya sendiri. Selebihnya, adalah urusan saya dengan Allah, Tuhan saya.

Dalam proses itu, saya semakin menghargai strategi yang telah lama diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebuah strategi yang mendahului pemikiran Jung lebih 1400 tahun yang lalu. Strategi itu adalah diam.

Nabi ﷺ bersabda:

“مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ”
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
— Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Diam yang diajar oleh Nabi ﷺ bukan kerana takut. Bukan kerana elit atau mahu menjadi eksklusif. Dan sama sekali bukan kerana tidak peduli. Ia adalah diam yang berakar pada keimanan. Diam yang lahir daripada yakin bahawa cukuplah Allah yang mengetahui isi hati ini. Diam yang menyembuhkan, bukan melemahkan. Diam yang mendidik jiwa, bukan diam yang membungkam akal.

Saya memilih untuk tidak memberi reaksi terhadap segala-galanya. Kerana setiap reaksi mengalirkan tenaga. Jung ada menekankan bahawa jiwa manusia adalah sistem tenaga. Katanya:

“Every psychic process, like every other event in nature, depends on energy.”
— Carl Jung, Psychological Types (Jung, 1921, p. 47)

Dan saya mula perasan, saya sering letih bukan kerana saya bekerja terlalu keras, tetapi kerana saya terlalu banyak memberi reaksi kepada perkara yang tidak perlu. Setiap mesej yang saya jawab dalam keletihan, setiap komen yang saya balas hanya kerana ingin dilihat ‘berfungsi’, menghakis sedikit demi sedikit tenaga dalaman saya.

Kita menyangka ketersediaan yang berlebihan itu adalah ihsan. Padahal, ia kadang-kadang merupakan bentuk penafian terhadap nilai diri. Carl Jung menegaskan:

“The more compulsive the participation in the collective, the more the individual is unconscious of his individuality.”
— Carl Jung, The Relations Between the Ego and the Unconscious (Jung, 1928, p. 12)

Dalam era media sosial yang bising ini, semua orang berlumba mahu bersuara. Mahu menang dalam debat, mahu didengari. Tetapi saya belajar, kekuatan sebenar bukan pada suara, tetapi pada penguasaan terhadap diam.

Diam yang memilih.

Bukan melarikan diri.

Keheningan mengajar saya untuk mengenal corak dalam hidup saya. Siapa yang hanya hadir ketika memerlukan. Siapa yang memuji kerana saya masih berfungsi untuk mereka. Dan siapa yang tidak mampu berhadapan dengan saya apabila saya berubah.

Dan apabila saya mula menolak untuk memainkan peranan seperti dahulukala ketika mereka mengenal saya, mereka mula keliru. Kerana mereka tidak lagi tahu siapa saya.

Diam saya menggelisahkan sesetengah mereka di sekeliling saya. Apabila saya diam, ia mungkin jadi lebih menakutkan bagi mereka kerana terpaksa melihat diri mereka sendiri, tanpa saya sebagai cerminan ilusi mereka. Ia bukanlah sangkaan saya. Ia bayangan saya tatkala merenung pandangan Carl Jung lagi.

Jung menyebut:

“We do not become enlightened by imagining figures of light, but by making the darkness conscious.”
— Carl Jung, The Philosophical Tree, CW 13 (Jung, 1954, p. 335)

Keheningan saya menggugurkan topeng yang diletakkan kepada saya sebagai ‘saya menurut mereka’. Dan diam itu menjadi senjata yang membongkar bayangan mereka terhadap saya.

Tetapi saya tidak menyalahkan mereka. Kerana selama ini, saya juga bersalah—kerana terlalu ingin menjadi relevan. Takut ditinggalkan. Saya lupa bahawa saya tidak dilahirkan untuk menjadi alat kegunaan sesiapa. Saya dilahirkan untuk menjadi hamba kepada Tuhan saya.

Kini, saya semakin memilih. Saya semakin diam. Bukan kerana saya kalah. Tetapi kerana saya mahu menang dalam ruang saya sendiri. Saya tidak lagi mahu reaksi saya menjadi makanan kepada manipulasi. Saya mahu menyimpan tenaga saya untuk perkara yang benar-benar perlu. Saya mahu bersama diri, bukan melarikan diri dari diri.

Jung pernah menulis:

“Loneliness does not come from having no people around you, but from being unable to communicate the things that seem important to you.”
— Carl Jung, Memories, Dreams, Reflections (Jung, 1961, p. 356)

Dan saya faham sekarang. Kesunyian sebenar bukan kerana tidak ada orang. Tetapi kerana kita hilang hubungan dengan suara hati kita sendiri.

Saya tidak mahu lagi hidup dengan kesunyian seperti itu. Saya mahu sunyi yang hadir kerana saya sedang menyendiri bersama diri, bukan kerana saya ditinggalkan.

Saya mungkin kehilangan orang. Tetapi saya menemui kembali diri. Saya mungkin menjauh dari tempat. Tetapi saya kembali kepada pusat jiwa saya. Saya mungkin disalah faham. Tetapi saya semakin dihormati. Kerana apabila kita tidak lagi tersedia kepada semua, kita mula menjadi bernilai.

Dan inilah fasa baru saya—fasa kelahiran semula. Dalam keheningan, saya menemui suara yang paling penting—suara dari dalam.

Di usia 30an, saya tandakan ia dengan al-Ghazali.

Di usia 40an, saya pasakkan perjalanan dengan menemui Birgivi.

Di usia 50an, walaupun saya meneroka konsep individuation Carl Jung, saya halakan insiprasi daripadanya kepada menghidupkan pesan Nabi ﷺ untuk diri ini;

Berkatalah yang baik-baik…

Atau menanglah dengan memilih DIAM.

Cukup dengan Allah Maha Tahu.

Cukup dengan implikasi Akhirat yang salah satu.


Rujukan:

  • Jung, C.G. (1921). Psychological Types. Princeton University Press.
  • Jung, C.G. (1928). The Relations Between the Ego and the Unconscious. Princeton University Press.
  • Jung, C.G. (1953). The Collected Works of C.G. Jung, Volume 7: Two Essays on Analytical Psychology. Princeton University Press.
  • Jung, C.G. (1954). The Philosophical Tree, CW 13. Princeton University Press.
  • Jung, C.G. (1961). Memories, Dreams, Reflections. Vintage Books.
  • Al-Bukhari dan Muslim, Hadis Sahih: “مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ”

Hasrizal
Naas, Ireland
24 April 2025

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

“Humane” (2024): Apabila Tinggal Kepentingan Sendiri, Siapa Kita Sebenarnya?

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.