
Hakikatnya, kita masih belum selesai membincangkan tentang ketidaksamarataan peluang dan akses pendidikan yang negara tawarkan kepada murid-murid di Malaysia.
Semasa kita belum berhasil menyediakan ‘lantai yang sama rata’ untuk mereka, risiko menganiaya dan menzalimi pelajar menjadi semakin bertambah. Terutamanya apabila kita melihat pendidikan sebagai hak asasi semua.
Islam pula, amat menekankan keadilan dan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuk pendidikan.
Meraikan kejayaan calon SPM yang cemerlang secara berlebihan tanpa mengambil kira realiti ketidaksamaan yang berlaku bersama impaknya, boleh mengheret kita ke daerah yang bertentangan dengan prinsip keadilan Islam.
Tindakan ini berpotensi mengakibatkan kezaliman kerana memperluaskan lagi jurang antara pelajar kaya dengan yang miskin, yang bersekolah di sekolah yang mendapat layanan lebih baik berbanding yang terpinggir, yang mendapat akses berbeza-beza kepada sumber pendidikan.
Allah berfirman dalam Surah al-Nahl (16:90):
۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ٩٠
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi kepada kaum kerabat, dan melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan kezaliman.”
Amalan meraikan pelajar cemerlang secara terbuka tanpa sensitiviti terhadap latar belakang sosioekonomi pelajar lain, berisiko menimbulkan rasa rendah diri, iri hati, malah memupuk ketidakadilan yang bertentangan dengan nilai Islam.
Tidak mudah untuk kita sewenang-wenangnya menganggap murid yang keputusannya tidak cemerlang, adalah kerana mereka kurang berusaha justeru wajar untuk mereka terpinggir daripada penghargaan dan keraian.
Kita belum berjaya melunaskan perintah berlaku adil yang amat asasi itu.
Ketika saya membaca buku Adab al-Mu’allimin yang ditulis oleh almarhum Muhammad Ibn Sahnun, meninggal dunia pada tahun 817 Masihi, lebih kurang kurun yang ketiga Hijriyah, saya tertarik dengan satu bab di dalam kitab berkenaan yang Ibnu Sahnun tajukkan sebagai “ما جاء في العدل بين الصبيان” iaitu “Bab Mengenai Berlaku Adil Kepada Anak-anak.”
Ibnu Sahnun memetik sepotong hadis Nabi ﷺ daripada Anas bin Malik Rallahu Anhu Rasulullah ﷺ bersabda,
“sesiapa yang mendidik dan mengambil tanggungjawab ke atas tiga kanak-kanak daripada umat ini kemudian tidak mengajarnya secara saksama, bahawa yang miskin belajar bersama dengan yang kaya dan yang kaya bersama dengan yang miskin, maka pendidik itu akan dibangkitkan di Mahsyar bersama golongan pengkhianat.”
Walaupun hadis ini didhaifkan oleh Al-Nasa’ie, Ibn Main dan Al-Zahabi, penekanan yang diberikan oleh Ibn Sahnun di abad kesembilan itu boleh memberikan indikasi kepada kita bahawa pendidikan masyarakat di zaman itu ditekankan agar berbentuk egalitarian dan tidak elit. Ibn Sahnun amat mementingkan keadilan akses pendidikan tanpa dibezakan latar belakang keluarga murid untuk mempengaruhi peluang mereka berjaya.
Jika Ibnu Sahnun hidup pada tahun 2025 ini dan beliau berpeluang melawat sekolah-sekolah di negara-negara egalitarian seperti di negara-negara utara, selatan, timur dan barat, kemudian melawat pula negara kita Malaysia, negara manakah pada pandangan Ibnu Sahnun mengikut teladan pendidikan Islam yang beliau nukilkan di dalam kitabnya?
PERBANDINGAN BERMASALAH
Sukan adalah pertandingan. Ia memang disempurnakan dengan adanya pihak yang menang dan pihak yang kalah.
Pendidikan bukan pertandingan. Peperiksaan bukan persaingan.
Meraikan guru cemerlang, guru yang tidak cukup cemerlang dan tidak diraikan mungkin berkecil hati dan berasa rendah diri. Tetapi guru-guru sudah berkerjaya, sudah profesional dalam skop pekerjaannya, kerana mereka adalah individu dewasa yang sudah matang untuk menghadapi situasi sedemikian. Apa impak perbandingan dan persaingan tersebut kepada minda, emosi, dan proses self image anak-anak?
Berdasarkan pelbagai pertimbangan, kita wajar mengambil pendekatan yang lebih seimbang dan berhemah dalam meraikan pencapaian akademik:
Majlis Inklusif: Sekolah boleh menganjurkan pengumuman keputusan yang meraikan semua pelajar yang telah menamatkan peperiksaan, dengan pengiktirafan khas kepada mereka yang menunjukkan peningkatan ketara atau daya tahan luar biasa.
Pengiktirafan Holistik: Pencapaian bukan akademik seperti kepimpinan, kokurikulum, khidmat masyarakat, dan pembangunan diri wajar turut diberi tempat, agar takrif kejayaan lebih menyeluruh dan inklusif.
Penghargaan Secara Peribadi: Keputusan cemerlang boleh dihargai secara tertutup melalui biasiswa, sijil atau penghargaan dalaman, bagi mengelakkan tekanan awam namun tetap mengiktiraf usaha pelajar.
Kepekaan Budaya dan Agama: Sambutan hendaklah sederhana dan berpaksikan nilai budaya Malaysia seperti rendah diri dan kesyukuran, selari dengan ajaran agama agar tidak menyinggung atau meminggirkan pelajar lain.
Jangan lupa, pendidikan yang baik adalah hak semua dan sudahkah kita melunaskannya sebelum mahu meraikan kecemerlangan sebahagian dan meminggirkan sebahagian yang lain?
Sambutan terhadap pelajar cemerlang bukan isu baik atau buruk secara mutlak—ia bergantung pada cara pelaksanaan dan niat di sebaliknya. Jika dilaksanakan secara bijak, ia mampu memotivasikan pelajar dan mengukuhkan semangat komuniti. Namun jika tidak, ia boleh menambah jurang, menekan emosi, dan membentuk budaya saingan yang tidak sihat.
Enjit-enjit semut, siapa sakit tertinggal dan terbabas, gantikanlah perkara ini dengan semangat ta’awun ‘alal birr wa al-taqwa, di dalam jiwa dan amalan anak-anak kita.
Adil itu lebih dekat dengan takwa.