
Sekitar sepuluh tahun yang lalu, ketika merangka usul menggugurkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada Khalifah Model School – Secondary, saya mengangkat satu isu yang ketika itu kelihatan kecil tetapi sangat signifikan. Saya menyorot perhatian kepada kecelaruan dalam kefahaman dan pelaksanaan aras berfikir dalam pendidikan nasional, khususnya apabila melihat bagaimana pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan reaksi terhadap kemerosotan pencapaian negara dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).
Saya mendapati bahawa antara punca utama kepada masalah ini ialah salah tafsir terhadap Taksonomi Bloom dan salah faham konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Higher Order Thinking Skills, HOTS/KBAT). Taksonomi Bloom sering kali disalah erti secara mekanikal – seolah-olah sekadar menggantikan kata kerja dalam soalan akan meningkatkan aras pemikiran murid, sedangkan hakikatnya, pemikiran kompleks tidak boleh diwujudkan hanya dengan pertukaran bahasa tugasan. Kefahaman yang cetek ini menimbulkan satu jurang besar antara apa yang diajarkan dan apa yang diharapkan dalam pembinaan keupayaan intelektual generasi muda.
Sebaliknya, ketika meneliti kurikulum antarabangsa seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di bawah Cambridge Assessment International Education, saya menemui pendekatan yang lebih berstruktur melalui penggunaan Taksonomi SOLO (Structure of the Observed Learning Outcome).
Diperkenalkan oleh Biggs dan Collis pada tahun 1982, Taksonomi SOLO menyediakan satu rangka kerja sistematik yang mengklasifikasikan hasil pembelajaran pelajar berdasarkan kerumitan dan kedalaman pemikiran mereka, bukannya sekadar berdasarkan jumlah fakta yang dihafal. Ini adalah perbezaan asas yang membentuk perspektif baru dalam memahami bagaimana aras berfikir sebenarnya dibangunkan dalam proses pendidikan.

Taksonomi SOLO membahagikan perkembangan kefahaman pelajar kepada lima tahap progresif:
- Pre-struktural – Pelajar belum memahami tugasan; jawapan diberikan secara tidak relevan atau salah.
- Uni-struktural – Pelajar memahami satu aspek sahaja secara asas dan terhad.
- Multi-struktural – Pelajar memahami beberapa aspek berasingan, tetapi belum menghubungkannya secara bermakna.
- Relasional – Pelajar mampu menghubungkan pelbagai aspek menjadi kefahaman yang bersepadu dan menyeluruh.
- Abstrak lanjutan – Pelajar memperluaskan kefahaman mereka ke situasi baharu, membina inferens, membuat hipotesis, dan menghasilkan idea asli.
Dengan struktur ini, Taksonomi SOLO membantu meningkatkan kualiti aras berfikir murid dalam beberapa cara utama:
- Merancang soalan dan tugasan: Guru dapat menyusun soalan dan aktiviti secara bertahap, bermula dari asas kepada kompleks, lalu membolehkan pelajar mengembangkan keupayaan pemikiran mereka secara progresif.
- Menilai pembelajaran: Dengan memahami tahap kefahaman pelajar, guru dapat merancang intervensi yang bersesuaian untuk membawa mereka ke tahap pemikiran yang lebih tinggi.
- Memudahkan refleksi murid: Pelajar boleh menggunakan kerangka SOLO untuk menilai kedalaman kefahaman mereka sendiri, menggalakkan pembelajaran kendiri dan pembinaan metakognisi.
- Menyusun proses pengajaran: SOLO menyediakan kerangka bagi guru untuk membina kurikulum dan aktiviti pembelajaran yang progresif, daripada penguasaan asas kepada penciptaan ilmu baharu.
Contoh Aplikasi Taksonomi SOLO: Mata Pelajaran Sains
Tahap SOLO | Ciri Pemikiran | Contoh Soalan/Tugasan |
---|---|---|
Pre-struktural | Tidak memahami konsep; jawapan salah atau tidak relevan | “Apakah itu kitaran air?” (Murid tidak dapat menjawab atau memberi jawapan yang salah seperti ‘air berlari dalam paip.’) |
Uni-struktural | Memahami satu fakta asas | “Sebutkan satu proses dalam kitaran air.” (Contoh jawapan: ‘Penyejatan.’) |
Multi-struktural | Memahami beberapa fakta tetapi tidak menghubungkannya | “Nyatakan tiga proses dalam kitaran air.” (Jawapan: ‘Penyejatan, pemeluwapan, hujan.’) |
Relasional | Menghubungkan konsep secara bermakna | “Terangkan bagaimana semua proses dalam kitaran air saling berkait.” (Murid menjelaskan hubungan logik antara penyejatan, pemeluwapan, dan hujan.) |
Abstrak lanjutan | Memperluaskan konsep kepada situasi baharu | “Ramalkan bagaimana perubahan iklim boleh menjejaskan kitaran air, dan cadangkan langkah penyelesaian.” (Murid mengaplikasi kefahaman kepada isu global baharu.) |
Contoh Aplikasi Taksonomi SOLO: Mata Pelajaran Bahasa Melayu
Tahap SOLO | Ciri Pemikiran | Contoh Soalan/Tugasan |
---|---|---|
Pre-struktural | Idea bercelaru; tidak berkaitan tajuk | “Tulis karangan tentang kebersihan.” (Karangan hanya menceritakan tentang makanan tanpa kaitan dengan kebersihan.) |
Uni-struktural | Fokus pada satu aspek sahaja | “Tulis satu sebab mengapa kebersihan penting.” (Contoh: ‘Kebersihan penting untuk kesihatan.’) |
Multi-struktural | Senaraikan beberapa idea tanpa hubungan kuat | “Nyatakan tiga sebab kebersihan penting.” (Tanpa peralihan idea atau perhubungan.) |
Relasional | Menyusun dan menghubung idea secara teratur | “Tulis karangan yang menerangkan bagaimana menjaga kebersihan membantu membentuk masyarakat sihat, dengan contoh.” (Idea saling berkaitan dan berkembang logik.) |
Abstrak lanjutan | Membuat refleksi atau cadangan berdasarkan kefahaman mendalam | “Huraikan kepentingan menjaga kebersihan dalam membina negara maju, dan cadangkan langkah inovatif untuk memupuk amalan ini dalam kalangan remaja.” (Pemikiran abstrak dan kritikal.) |
Contoh Aplikasi Taksonomi SOLO dalam Pendidikan Interdisiplin
Saya teringat satu aktiviti mudah tetapi sangat mendalam yang kami jalankan di sekolah bermula dengan subjek Matematik. Ia akhirnya melibatkan integrasi subjek Akidah, Matematik, dan Sejarah. Aktiviti ini berpusatkan satu persoalan asas: Mengapa apabila 1 dibahagi dengan 0 di kalkulator, jawapannya “Error”?
Tahap SOLO | Ciri Pemikiran | Contoh Aktiviti dan Soalan (Integrasi Akidah, Matematik, Sejarah) |
---|---|---|
Pre-struktural | Tiada kefahaman tentang operasi atau maksud ‘Error’ | Murid hanya menekan kalkulator, nampak perkataan “Error”, tetapi tidak tahu mengapa. Soalan: “Apa maksud ‘Error’ di skrin?” (Jawapan bercelaru atau salah.) |
Uni-struktural | Memahami satu fakta asas dalam satu subjek sahaja | Soalan Matematik: “Bolehkan kita membahagi sesuatu dengan sifar?” (Jawapan: “Tidak boleh.”) Atau Soalan Akidah di dalam subjek Pendidikan Islam: “Siapakah yang Maha Kekal tanpa permulaan dan tanpa kesudahan?” (Jawapan: “Allah.”) |
Multi-struktural | Memahami beberapa fakta berasingan dalam subjek berlainan, tanpa menghubungkannya | Soalan Matematik: “Bahagi dengan sifar tidak boleh.” Soalan Sejarah: “Tamadun Islam memperkenalkan angka sifar.” Soalan Akidah: “Bolehkah Allah yang Maha Berkuasa itu menghapuskan Allah?” (Murid menjawab semua tetapi secara terpisah.) |
Relasional | Menghubungkan fakta pelbagai subjek untuk membentuk kefahaman menyeluruh | Aktiviti: Murid menerangkan bahawa dalam Matematik, membahagi dengan sifar tidak mungkin kerana sifar tidak mempunyai nilai untuk diagihkan; dalam Akidah, konsep kemutlakan kuasa Allah sebagai Tuhan dan kesempurnaan-Nya, berada di belakang konsep ‘infinity’. Ia menyumbang kepada konsep sifar berkembang melalui tamadun Islam yang kemudian mengubah dunia Matematik moden. |
Abstrak lanjutan | Meluaskan konsep kepada refleksi falsafah dan nilai | Aktiviti: Murid membina esei ringkas atau perbincangan lisan tentang bagaimana ‘sifar’ sebagai konsep matematik boleh diibaratkan dengan hakikat ketidakbergantungan makhluk dan kemutlakan dan kesempurnaan Allah, serta refleksi tentang betapa konsep matematik yang kecil (seperti sifar) telah mengubah sejarah dunia melalui tamadun manusia. Soalan: “Bagaimana kesilapan memahami konsep kecil seperti sifar boleh membawa kesan besar dalam memahami hakikat kehidupan dan sejarah dunia?” |
Aktiviti ini membuktikan bahawa apabila murid dibimbing secara progresif melalui tahap-tahap SOLO, mereka bukan sahaja memahami fakta, tetapi dapat membina kefahaman mendalam yang membentuk cara berfikir kritis, kreatif, dan reflektif.
Penutup: SOLO Dalam Realiti Pendidikan Kita
Walaupun ketika itu kami berdepan seribu satu kepayahan dan risiko kerana mengambil langkah drastik menggugurkan SPM daripada kerangka pendidikan sekolah kami, saya bersyukur kerana kami berpegang teguh pada prinsip membina pendidikan berasaskan nilai sebenar pembelajaran, bukan sekadar lulus peperiksaan.
“Education is all about learning” menjadi mantera yang diulang-ulang ketika itu.
Hari ini, walaupun Taksonomi SOLO tidak dibincangkan secara meluas di permukaan pengurusan sekolah atau dalam wacana awam pendidikan kami di sekolah, hakikatnya ia sudah berfungsi secara senyap di balik tabir implementasi kurikulum semasa. Ia menjadi asas penting kepada pembangunan kefahaman bersepadu dan kemahiran berfikir mendalam dalam kalangan pelajar kami.
Pendidikan bukan sekadar menyampaikan maklumat. Ia adalah proses membina manusia yang mampu berfikir secara bermakna, memahami secara mendalam, dan beramal dengan kefahaman tersebut untuk memperbaiki dunia.
#saifulislamdotcom #ustazhasrizal #hasrizaljamil #HasrizalAbdulJamil #hasrizal #pendidikanjalanislah #pendidikanfatamorgana